H.I.D.S – Gerakan Menangkap Datuk Bahaman Dihentikan

Dato-bahaman17 Jun 1895 – Pada hari ini dalam tahun 1895, tentera Inggeris yang diketuai oleh Sir Hugh Clifford telah mengaku kalah dan menghentikan gerakan menangkap Datuk Bahaman dan pejuang-pejuang Pahang yang lain. Gerakan tersebut telah dilakukan selama 3 bulan, bermula dari negeri Pahang ke Terengganu sehinggalah ke Kelantan.

Sebanyak RM 7,393.83 telah digunakan oleh pihak Inggeris untuk membiayai gerakan ini. Kegagalan Clifford dan tentera Inggeris jelas menunjukkan kepahlawanan Datuk Bahaman dan orang-orangnya.

Datuk Bahaman telah dilucutkan gelaran Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan pada 18 Oktober 1891, dalam Mesyuarat Negeri yang keempat oleh Sultan Ahmad yang telah membawa kepada permulaan penentangan terbuka terhadap sistem pemerintahan penjajah. Antara faktor yang menggagalkan rancangan Inggeris itu ialah kekuatan fizikal dan ilmu kebatinan mereka di samping kerjasama yang diberikan oleh penduduk tempatan kepada mereka.

Sesungguhnya, semangat perjuangan pejuang-pejuang Melayu ini dalam mempertahankan kedaulatan tanah air terus utuh hingga membawa kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen