H. I. D. S. – Gagasan Persekutuan Malaysia Dikemukakan

27 Mei 1961 – Pada hari ini dalam tahun 1961, Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu mengemukakan Gagasan Malaysia. Gagasan ini beliau kemukakan dalam satu majlis jamuan yang diadakan oleh Persatuan Wartawan-wartawan Luar Negeri Asia Tenggara, di Singapura. Cadangan yang dikemukakan oleh beliau itu walaupun bukan sesuatu yang baru tetapi telah mengejutkan banyak pihak oleh kerana “……. di zaman selepas perang tidak ramai orang berwenang (dalam kerajaan) memperkatakan tentang ide kesatuan politik- yang lebih besar oleh kerana cadangan-cadangan serupa ini sama ada merbahaya dari segi politik ataupun ia tidak praktikal dalam masa sedang berlakunya perubahan dan kegelisahan politik.

Dalam mengemukakan cadangan itu beliau menyatakan bahawa Tanah Melayu tidak dapat memencilkan diri dari politik antarabangsa. Seterusnya beliau menyatakan bahawa:……. Lambat laun Tanah Melayu harus bersefahaman dengan Britain dan rakyat-rakyat Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak. Adalah agak terlalu awal untuk saya menyebutkan cara bagaimana persefahaman itu dapat dicapai, namun tidak dapat dielakkan bahawa kita perlu mencapai objektif ini dan memikirkan satu rancangan bagaimana wilayah-wilayah ini dapat dibawa kepada satu kerjasama politik dan ekonomi yang rapat.

Tidak berapa lama selepas pengumuman itu, pada 21 Ogos, 1961, Jawatankuasa Setiakawan dan Perundingan Malaysia (Malaysian Solidarity Consulative Committee) pun ditubuhkan sebagai cawangan kepada Persatuan Parlimen Komanwel (Commonwealth Parliamentary Association) dan telah mengadakan mesyuaratnya di Jesselton dan mula merancangkan satu rancangan tindakan serantau.

Seorang Ahli yang terkemuka dalam Majlis Perundangan Borneo Utara, Donald Stephens telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa ini yang ahli-ahlinya terdiri dari wakil-wakil Sabah, Sarawak dan Singapura, dan pemerhati-pemerhati dari Brunei. Jawatankuasa ini telah bertemu sebanyak empat kali. Akhirnya Jawatankuasa ini telah mengeluarkan satu Memorandum bagi penubuhan Malaysia, 3hb Februari 1962 dan yang menjadi asas kepada Suruhanjaya bersama Britain-Tanah Melayu meninjau kehendak-kehendak rakyat Borneo.

Suruhanjaya ini ialah Suruhanjaya Cobbold yang telah dilantik pada 16hb Januari, 1962 dan diketuai oleh Lord Cobbold. Suruhanjaya ini telah menjalankan tinjauannya di Sabah dan Sarawak daripada 19hb Februari hingga 18 April 1962. Pada 1 Ogos 1962 Suruhanjaya ini mengeluarkan laporannya dan menyatakan bahawa 70 peratus daripada rakyat Borneo (kecuali Brunei) menginginkan Malaysia dengan syarat tiap-tiap negeri itu diberi hak mengawal dasar-dasar bahasa dan imigresen masing-masing dan mempunyai Ketua Negerinya sendiri.

Mereka juga akan mempunyai 40 orang wakil dalam Parlimen Malaysia dan akan menerima geran-geran pembangunan, Singapura pula telah bersetuju untuk bercantum dengan syarat ia menguasai hal ehwal kewangan, buruh dan pelajaran, sementara kawalan ke atas hal ehwal luarnegeri, pertahanan dan keselamatan diserahkan kepada Kerajaan Pusat. Selain daripada itu Singapura akan diberi 15 kerusi daripada 159 kerusi dalam Dewan Perundangan Persekutuan. Ia juga akan mempunyai kerajaan dan Dewan dan Yang Dipertua Negaranya sendiri.

Gagasan untuk membentuk satu Persekutuan Malaysia sebagai satu entiti politik yang dimaksudkan oleh Tunku ini adalah merupakan cadangan yang pertama kalinya pernah dikemukakan secara terbuka oleh seorang pemimpin negara di rantau ini. Sebelum ini memang terdapat suara-suara yang menyuarakan tentang konsep ini tetapi datangnya daripada beberapa orang nasionalis Melayu dari parti-parti bukan pemerintah. Bagaimanapun konsep yang mereka kemukakan adalah dalam konteks Melayu Raya yang meliputi seluruh kepulauan Melayu Nusantara.

Cadangan Tunku ini telah merobah secara radikal perjalanan politik antarabangsa di rantau ini hingga membawa kepada perubahan peta Asia Tenggara apabila Malaysia ditubuhkan pada 16hb September, 1963 yang merangkumi negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen