H.I.D.S. – Enakmen Tanah Simpanan Melayu Diluluskan

25 November 1913 – Pada hari ini dalam tahun 1913, Majlis Persekutuan telah meluluskan Enakmen Tanah Simpanan Melayu. Enakmen ini telah diwartakan pada 1 Januari 1914, dan berkuatkuasa di tiap-tiap Negeri Melayu Bersekutu.

Enakmen Tanah Simpanan Melayu ini mengandungi 16 fasal. Antara lain ia menegaskan bahawa semua tanah yang diisytiharkan sebagai Tanah Simpanan Melayu sama sekali tidak boleh dijual, disewa atau diserahkan kepada sesiapa juga yang bukan berbangsa Melayu.

Perlaksanaan Enakmen Tanah Simpanan Melayu diserahkan kepada tiap-tiap kerajaan Negeri. Oleh itu, tiap-tiap kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kawasan-kawasan tertentu menjadi kawasan simpanan Melayu.

Perak merupakan negeri yang terawal sekali melaksanakan Enakmen Tanah Simpanan Melayu. Perisytiharan tersebut dibuat ke atas 13 kawasan di daerah Larut pada 5 Jun 1914. Ini diikuti dengan Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

Sehingga tahun 1923, terdapat seluas kira-kira 1,126,700 hektar atau 15.58 peratus dari keluasan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah dijadikan Tanah Simpanan Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen