H. I. D. S. – Dr Mahathir Isytihar Putrajaya Sebagai Wilayah Persekutuan

seal_putrajaya

flag putrajaya

01 Februari 2001 – Pada hari ini dalam 2001 YAB Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Mahathir bin Mohamad telah mengisytiharkan secara rasmi Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan di majlis yang diadakan di Dataran Perdana Putrajaya. Pengisytiharan itu menjadikan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan yang ketiga di negara ini selepas Kuala Lumpur dan Labuan.

Selain itu, ia mencatat sejarah kepada pembangunan negara apabila menjadi pusat pentadbiran negara yang baru secara rasmi. Putrajaya yang mengabadikan jasa dan kenangan terhadap Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj itu dibina dengan ciri-ciri kemajuan yang dihasratkan oleh negara untuk memacu ke arah kemajuan yang melewati rangka Wawasan 2020.

Bandar tersebut juga dilengkapi dengan infrastruktur tercanggih dari segi komunikasi serta urusan pejabat dan diharap dapat menghasilkan pentadbiran yang moden, cekap, berkesan serta maju.

Ketika berucap pada ucapan perasmian Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan merasa gembira kerana berjaya membangunkan Putrajaya dan Kerajaan Selangor bersetuju untuk menyerahkan kawasan tersebut kepada Kerajaan Pusat untuk dijadikan Wilayah Persekutuan.

Sesungguhnya dengan terbinanya bandar tersebut akan membolehkan kerajaan mempertingkatkan lagi khidmatnya kepada rakyat dengan lebih cekap, cepat dan berkesan serta melaksanakan, pembangunan yang lebih pesat supaya dapat dinikmati secara langsung oleh Selangor dan secara amnya oleh seluruh negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen