Dewan Rakyat Meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967

03 Mac 1967– Pada hari ini dalam tahun 1967, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan dengan 95 undi menyokong dan 11 undi menentang. Tujuan Rang Undang-undang ini digubal adalah bagi melaksanakan ketetapan di dalam Bab 152 Perlembagaan Persekutuan, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi yang tunggal.

Rang Undang-undang ini digubal setelah genap tempoh 10 tahun penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi sebagaimana yang termaktub di dalam Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan. Rang Undang-undang Bahasa ini menetapkan bahawa mulai 1 September 1967 hanya bahasa Kebangsaan yang boleh digunakan dalam urusan rasmi.

Namun, demi kepentingan awam, bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan, iaitu melalui penggunaan terjemahan daripada bahasa-bahasa tersebut. Ahli-ahli Dewan Rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu juga dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris. Begitu juga dengan perbicaraan yang dijalankan di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah boleh dijalankan sama ada dalam bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris atau sebahagian dalam bahasa Kebangsaan dan sebahagian lagi dalam bahasa Inggeris.

Sesungguhnya, kelulusan Rang Undang-undang Bahasa ini telah memantapkan lagi perpaduan masyarakat demi kepentingan negara yang baru merdeka ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen