H. I. D. S. – Dato’ Seri Mohd Najib Dilantik Sebagai Timbalan Perdana Menteri

najib07 Januari 2004 – Pada hari ini dalam tahun 2004, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pengumuman mengenai pelantikan itu telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada satu sidang berita khas selepas mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Datuk Seri Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang dan merupakan anak sulong kepada Perdana Menteri, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein dan Tun Rahah binti Mohd Noah.

Penglibatan Dato Seri Mohd Najib dalam politik bermula apabila beliau diminta untuk bertanding di kawasan Parlimen Pekan berikutan kepulangan Allahyarham Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976. Beliau telah menang tanpa bertanding dalam pilihan Raya Kecil Parlimen Pekan pada 21 Febuari 1976, dan dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos.

Pada 22 April 1982, Dato’ Seri Mohd. Najib bertanding dikawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Pekan dan berjaya memenangi kerusi tersebut. Berikutan itu, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke 12.

Karier politiknya terus menyinar dan beliau telah menjawat pelbagai jawatan dalam kabinet termasuk sebagai Timbalan Menteri dan Menteri dan pada 3 April 2009, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Razak telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri yang keenam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen