H.I.D.S. – Daing Merewah – Yamtuan Muda Riau Mangkat

lambang johor07 Ogos 1782 – Pada hari ini dalam tahun 1782, Daing Merewah, Yamtuan Muda Riau yang pertama telah mangkat setelah menjadi Yamtuan Muda Riau semenjak tahun 1722 dan dimakamkan di Sungai Baru, Riau. Daing Merewah adalah salah seorang Raja-raja Bugis Lima Bersaudara dan berasal dari tanah Bugis. Saudara-saudara baginda yang lain ialah Daing Perani, Daing Menambun, Daing Chelak dan Daing Kemasi.

Semenjak awal kurun masihi yang ke-15, Raja-raja Bugis Lima Bersaudara ini mengembara dengan perahu-perahu perang mereka ke kawasan-kawasan bahagian Barat Nusantara terutama di perairan Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Riau dengan tujuan untuk berkuasa memerintah negeri-negeri di situ. Pengaruh Raja-raja Bugis Lima Bersaudara mula tersebar di Semenanjung Tanah Melayu ketika pemerintahan Raja Kecil Johor yang bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat iaitu Sultan Johor yang ke-12.

Raja Kecil menaiki takhta kerajaan Johor setelah menyerang dan berjaya mengalahkan Kerajaan Johor di bawah Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV pada tahun 1718. Baginda kemudian telah menjadikan Sultan Abdul Jalil, bekas Sultan Johor sebagai Bendaharanya. Hal ini telah menimbulkan kemarahan putera dan puteri Sultan Abdul Jalil iaitu Tengku Sulaiman dan Tengku Tengah.

Kedatangan Raja-raja Bugis Lima Bersaudara ini disambut oleh Tengku Sulaiman dan Tengku Tengah. Mereka telah meminta bantuan Raja-raja Bugis ini bagi menjatuhkan semula Raja Kecil dari Takhta Kerajaan Johor. Satu perjanjian telah dibuat antara kedua pihak di mana jika mereka berjaya merampas kembali kerajaan Johor dari Raja Kecil, salah seorang dari Raja Bugis itu akan dijadikan Yamtuan Muda atau Raja Muda turun temurun. Selepas itu Raja-raja Bugis Lima Bersaudara ini pun kembali ke Pasai untuk menyiapkan angkatan perang mereka.

Sementara itu negeri Johor berada di dalam hura-hara kerana rakyat Johor telah terbahagi dua, satu pihak menyebelahi Raja Kecil dan satu lagi menyebelahi Sultan Abdul Jalil. Akhirnya peperangan telah meletus di antara kedua belah pihak dan Sultan Abdul Jalil telah mendapat kekalahan dan berundur ke Pahang. Semasa dalam perjalanan ke Riau, Sultan Abdul Jalil telah dibunuh atas arahan Raja Kecil pada tahun 1720.

Peristiwa ini telah menimbulkan kemarahan putera baginda Raja Sulaiman dan Tun Abbas. Pada tahun 1721, Raja Sulaiman telah meminta pertolongan dari Raja-raja Bugis ini untuk merampas semula Kerajaan Johor. Pada 4 Oktober 1722, Raja Sulaiman telah dilantik sebagai Sultan Johor setelah mengalahkan Raja Kecil. Berdasarkan kepada perjanjian yang telah ditandatangani maka Raja Sulaiman telah melantik Daing Merewah sebagai Yamtuan Muda Riau I dan bergelar Kelana Jaya Putera. Baginda telah digantikan oleh saudaranya Daing Chelak selepas kemangkatan baginda hari ini dalam tahun 1728.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen