H.I.D.S. – Campurtangan Inggeris Di Sungai Ujung

datuk kelana10 Oktober 1874 – Pada hari ini dalam tahun 1874,Datuk Kelana Sungai Ujung, Datuk Kelana Putera Syed Abdul Rahman Alkadri menaikkan bendera Inggeris dengan diiringi oleh tembakan meriam sebanyak 21 das. Upacara ringkas tetapi besar ertinya kepada penjajah Inggeris ini telah disaksikan oleh wakil Leftenan Gabenor Melaka, W.A. Pickering yang diiringi oleh sepasukan polis sepoi Melayu.

Upacara menaikkan bendera Inggeris yang menandakan bermulanya campurtangan Inggeris secara aktif. Ini adalah ekoran dari permusuhan di antara pembesar-pembesar Sungai Ujung terutamanya Datuk Kelana dan Datuk Bandar Shahbandar Tunggal mengenai hasil mahsul negeri dan jawatan Undang. Pada 21 April 1874, Datuk Kelana telah menandatangani satu perjanjian menerima perlindungan Inggeris ke atas Sungai Ujung di Singapura. Perjanjian ini telah menguatkan kedudukan Datuk Kelana.Bagaimanapun, apabila Raja Mahadi dan Raja Mahmud dari Selangor menawarkan bantuan kepada Datuk Bandar, Datuk Kelana merasakan kedudukannya tergugat.

Pada 24 September 1974, Datuk Kelana telah mengutus surat kepada Leftenan Gabenor Melaka Kapten Shaw untuk meminta bantuan.Sebaik saja menerima surat itu Kapten Shaw menghantar W.A. Pickering dengan sepasukan polis sepoi untuk membantu Datuk Kelana. Kehadiran Pickering membolehkan Datuk Kelana menaikkan bendera Inggeris pada hari ini dalam tahun 1874.

Berikutan itu Kapten W.l. Tatham telah dilantik menjadi Penolong Residen dan Datuk Kelana terpaksa tunduk kepada nasihat dan arahan Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen