Cadangan Nama Bandar Jesselton Ditukar Kepada Kota Kinabalu

06 Mac 1966 – Pada hari ini dalam tahun 1966, Tun Mustapha bin Datu Harun, Pengerusi Perikatan Sabah dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) telah mencadangkan nama Jesselton ditukarkan kepada Kota Kinabalu. Cadangan ini dibuat semasa beliau berucap di satu Perhimpunan rakyat di Tambunan, Sabah.

Nama Kota Kinabalu dipilih adalah bagi menghormati kaum Dusun kerana kaum inilah yang paling ramai tinggal berdekatan gunung itu. Di dalam ucapannya, Tun Mustapha telah menyatakan bahawa nama Kota Kinabalu disyorkan supaya ia tidak tersilap dengan Gunung Kinabalu, iaitu gunung yang tertinggi di Asia Tenggara.

Nama bandar Jesselton diberikan bagi memperingati seorang Pengarah Chartered Company Inggeris di Sabah, iaitu Sir Charles Jessel. Menurut Tun Mustapha lagi sikap bermegah-megahkan orang-orang asing harus dihapuskan supaya anak cucu dan keturunan yang akan datang berbangga dengan perjuangan serta kemajuan di masa lalu.

Di samping itu, Tun Mustapha turut mengesyorkan supaya tiap-tiap negeri di Malaysia menamakan jalan raya dengan nama negeri-negeri lain di Malaysia. Beliau juga mengesyorkan supaya sebatang jalan raya di ibu kota Kuala Lumpur diberi nama Jalan Kinabalu. Usaha ini akan mengukuhkan lagi persefahaman di kalangan rakyat di negara ini. Sesungguhnya dengan cadangan menukarkan nama bandar Jesselton kepada Kota Kinabalu ini akan dapat mengingatkan kembali rakyat kepada sejarah tempatan demi menghidupkan semangat kebangsaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen