Bendahara Wan Ahmad Ditabal Sebagai Sultan Pahang

Sultan_ahmad_muazzam_shah12 Disember 1844 – Pada hari ini dalam tahun 1844, Bendahara Wan Ahamad telah ditabalkan sebagai pemerintah negeri Pahang secara rasminya oleh Orang-orang Besar Pahang. Baginda telah memakai gelaran Sultan Ahmad Mu’azzam Shah dan merupakan Sultan Pahang yang pertama dalam keturunan Kesultanan Pahang yang sedang memerintah hingga ke hari ini.

Kesultanan baginda telah diiktiraf oleh Inggeris sebagai pemerintah Pahang pada 1 September 1868, melalui satu perjanjian mengenai sempadan yang telah ditandatangani di antara Temenggong Abu Bakar dengan Bendahara Wan Ahmad dengan disaksikan oleh Gabenor Sir Harry Ord.

Bendahara Wan Ahmad berjaya memperolehi takhta pemerintahan negeri Pahang melalui penentangan terhadap Bendahara Tun Mutahir yang memerintah negeri Pahang ketika itu. Peperangan yang meletus di antara kedua-dua belah pihak ini telah memihak kepada Bendahara Wan Ahmad yang telah mendapat bantuan daripada Sultan Mahmud bekas Sultan Riau-Lingga dan Sultan Umar, Sultan Terengganu.

Bendahara Wan Ahmad telah berjaya menguasai negeri Pahang pada 10 Jun 1863, berikutan itu baginda telah dilantik sebagai Bendahara Pemerintah negeri Pahang dengan gelaran Bendahara Seri Wak Raja oleh Orang-orang Besar Pahang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen