H.I.D.S. – Belanda Menyerang Riau Ibu Negeri Johor- Riau-Lingga-Pahang

Raja-Haji29 Oktober 1784 – Pada hari ini dalam tahun 1784, Belanda telah menyerang Riau Ibu Negeri Kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang yang diperintah oleh Sultan Mahmud Shah III. Serangan dilakukan kerana Sultan Mahmud Shah III telah bekerjasama dengan orang-orang Bugis iaitu musuh Belanda. Belanda telah memberi amaran kepada orang Bugis supaya meninggalkan Riau dan memansuhkan jawatan Yam Tuan Muda. Tetapi pengaruh Bugis telah meluas di dalam pemerintahan Kerajaan Johor dan Sultan enggan mengikut kehendak Belanda.

Permusuhan di antara Bugis dan Belanda bermula sejak raja-raja Bugis menguasai kepulauan Melayu dan jalan perdagangan. Belanda berhasrat menguasai sepenuhnya perdagangan Melaka dan kepulauan Melayu. Raja Haji yang menjadi Yam Tuan Muda Johor pada tahun 1777, telah berkali-kali menyerang Belanda di Melaka dalam tahun 1783 dan 1784. Pada bulan Feb 1784, Raja Haji telah menyerang dan mengepung Melaka selama 4 bulan. Belanda hampir menyerang kalah tetapi malangnya Raja Haji telah terkorban pada 18 Jun 1784.

Belanda kemudiannya telah menyerang Riau pada hari ini dalam tahun 1784. Pada 30 Okt 1784, Yam Tuan Raja Ali terpaksa melarikan diri ke Sukadan di Kalimatan. Akhirnya pada 1 Nov 1784, Sultan Mahmud dan pembesar-pembesar Melayu serta pedagang asing di Riau terpaksa menyerah kalah kepada Belanda. Baginda telah mengutus Raja Tua Encik Andak, Bendahara Abdul Majid, Temenggung dan Raja Indera Bongsu berjumpa Admiral Jacob Pieter Van Braam Ketua angkatan perang Belanda untuk menandatangani surat pengakuan.

Di antara lain isinya menyebutkan bahawa :-

  • Semua kubu-kubu di Riau dan peluru-peluru diserahkan kepada Belanda.
  • Sultan Mahmud III dibenarkan terus memerintah menduduki takhtanya.
  • Orang-orang Melayu dibenarkan tinggal dan memiliki harta mereka d Riau.
  • Pedagangan asing yang telah membantu Bugis juga dibenarkan memiliki harta mereka di Riau tetapi dikenakan denda ganti rugi sebanyak $20,000.
  • Sultan dikenakan membayar ganti rugi peperangan yang dilancarkan oleh Raja Haji dan orang-orang Bugis terhadap Belanda. Hal ini akan dinyatakan di dalam satu perjanjian yang akan ditandatangani pada 11 Nov, 1784.

Pada hari ini dalam tahun 1784, Belanda telah berjaya mengalahkan Johor dan mengusir orang-orang pengaruh Yam Tuan Muda. Meskipun begitu Sultan dibenarkan terus berkuasa dan memerintah kerajaan dan mengadakan perhubungan persahabatan dengan Belanda.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen