malacca_dutch-800px
Sejarah

Pembaharuan Perjanjian Belanda Dengan Selangor

28 Mac 1819 – Pada tahun 1819, Gabenor Belanda di Melaka yang baru, Timmerman Thyssen telah menghantar perjanjian lama Belanda dengan Selangor yang ditandatangani pada 20 Julai 1790 kepada pihak Selangor untuk memperbaharuinya.

Ini berikutan dengan pendudukan semula Belanda ke atas Melaka setelah ianya diserahkan kepada Inggeris untuk ditadbirkan sementara waktu sehingga keadaan pergolakan Perang Napoleon di Eropah selesai. Apabila Belanda mengambil balik pentadbiran Melaka daripada Inggeris itu, pihak Belanda telah menjalankan usaha mempererat perhubungan dengan Selangor seperti sebelum ini. Ini kerana pihak Belanda menyatakan rasa puas hatinya bahawa Selangor telah menolong Perak menentang Siam.

Oleh itu pada 3 Mei 1819, Gabenor Thyssen telah menghantar Hendrick Stecker menghadap Sultan Ibrahim, Sultan Selangor dengan membawa surat Gabenor tersebut dan juga perjanjian Belanda dengan Selangor yang baru untuk ditandatangani. Walau bagaimanapun Selangor telahpun mengikat perjanjian dalam tahun 1818 dengan pihak Inggeris di mana Inggeris mendapat monopoli bijih timah dari Selangor dan Selangor pula mendapat bekalan alat-alat pertahanan seperti meriam, peluru-peluru dan sebagainya.

Beberapa syarat lain perjanjian Inggeris-Selangor ini ialah Selangor tidak boleh memberi monopoli perdagangan kepada kuasa-kuasa lain dan juga mengikat perjanjian.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard