panji_RAMD
Sejarah

Batalion Ke-3 Askar Melayu Menerima Panji-Panji

18 April 1952 – Pada tahun 1952, Batalion ke-3 Askar Melayu telah menerima panji-panji dari Pesuruhjaya Tinggi Malaya, General Sir Gerald Templer dalam satu ucapan khas bertempat di Kota Bharu, Kelantan. Turut hadir dalam ucapan penuh gemilang ini ialah DYMM Sultan Kelantan dan DYMM Sultan Pahang, Tengku Mahkota, Penasihat British bagi negeri Kelantan dan Terengganu iaitu Brigadier Andre, Raja Perempuan Kelantan, Lady Templer dan anak perempuannya, Hakim Malaya C.H. Whitton.

Batalion ke-3 Askar Melayu itu telah ditubuhkan pada September 1948 dengan Leftenan Kolonel Walton ditugaskan sebagai Pegawai Pemerintah yang dilantik pada bulan Oktober 1948. Beliau kemudiannya telah ditukarkan ke negeri Kelantan pada bulan Februari 1949.

Rejimen Askar Melayu Diraja

Dalam ucapan penyerahan panji-panji tersebut General Sir Gerald Templer memuji pasukan itu yang telah berjaya dalam operasi-operasi yang ditugaskan sehingga mendapat penghormatan menerima panji-panji. Walaupun batalion itu baru ditubuhkan 4 tahun yang lalu, tetapi ia telah banyak menyumbangkan jasa dan baktinya kepada negara terutama dalam usaha menentang pengganas-pengganas komunis yang telah mengancam ketenteraman negara.

Beliau juga menasihatkan agar perajurit-perajurit sentiasa berwaspada dalam menjalankan tugas mereka dan menjadikan upacara penganugerahan panji-panji ini sebagai satu penghormatan kepada perajurit-perajurit yang telah terkorban khasnya dan kejayaan yang harus dibanggakan oleh batalion ke-3 Askar Melayu amnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard