H. I. D. S. – Bahasa Melayu Pertama Kali Digunakan Sepenuhnya Di Dewan Undangan Negeri Perak

02 Mei 1967 – Pada hari ini dalam tahun 1967, buat pertama kalinya persidangan di Dewan Undangan Negeri Perak telah menggunakan Bahasa Kebangsaan sepenuhnya. Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Dato’ Mohamed Ali Zaini bin Haji Mohamed Zain meminta supaya ahli-ahli dewan menggunakan Bahasa Melayu walaupun dalam bahasa pasar. Beliau juga telah menggantung peraturan-peraturan tetap supaya ahli-ahli dewan boleh membaca ucapan-ucapan yang disediakan dalam bahasa Melayu.

Ahli-ahli dewan daripada parti pembangkang iaitu daripada Parti Progresif Rakyat hanya 3 dari 5 orang ahlinya yang hadir. Bagaimanapun mereka meninggalkan dewan selepas rehat tanpa mengambil bahagian dalam perbahasan.

Dalam perbahasan pada hari tersebut, dewan juga telah meluluskan anggaran belanjawan tambahan pembangunan negeri yang dibentangkan oleh Menteri Besar Perak Dato’ Ahmad Said. Sewaktu menangguhkan persidangan pada hari tersebut, Speaker Dato’ Mohamed Ali Zaini telah menyatakan rasa sukacitanya kerana ahli-ahli dewan telah menggunakan Bahasa Melayu dalam perbahasan di dewan yang mulia itu.

Dengan ini bermakna bahasa kebangsaan sebenarnya dapat digunakan dalam semua perbahasan di dalam dewan sekiranya ada kesungguhan di kalangan ahli-ahli dewan tersebut.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen