H.I.D.S. – Arahan Menggunakan Nama Teluk Intan Dikeluarkan

mahkamah teluk intan27 Disember 1981 – Pada hari ini, Yang Dipertua Majlis Daerah Hilir Perak (MDHP) Encik Abdul Samat Haji Sabri telah mengedarkan surat arahan kepada semua jabatan-jabatan kerajaan, pihak swasta termasuk kilang-kilang, syarikat-syarikat persendirian serta kedai-kedai perniagaan supaya menggunakan nama Teluk Intan.

Mengikut surat arahan yang diedarkan tersebut penggunaan nama Teluk Intan akan mula berkuatkuasa 1 Januari 1982. Dengan pengedaran surat arahan itu diharapkan semua penduduk di daerah Hilir Perak amnya dan bandar Teluk Intan khususnya agar dapat mengubah tulisan nama bandar ini pada semua papantanda yang bertulis perkataan Teluk Anson kepada Teluk Intan.

Arahan perubahan nama ini adalah sesuai dengan keadaan masyarakat negara ini lagipun nama Teluk Intan sememangnya telah digunakan sehinggalah pihak pentadbiran Inggeris menukarnya kepada nama Teluk Anson mengambil sempena nama seorang pegawai Inggeris yang bertugas di Perak.

Sesungguhnya arahan penukaran nama Teluk Anson kepada Teluk Intan pada hari ini dalam tahun 1981 itu adalah suatu yang baik ke arah mengurang atau menghapuskan nama-nama tempat yang berunsur penjajah di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen