H.I.D.S. – Ampangan Kuala Kubu Pecah

19 Oktober 1883 – Pada hari ini dalam tahun 1883, Ampangan Kuala Kubu telah pecah dan roboh akibat dari berlakunya bencana banjir besar melanda Sungai Selangor. Ampangan yang terletak dekat Kampung Asam Lenggong sekarang dikenali sebagai Kampung Ampang Pecah kira-kira 2.4 km dari pekan Kuala Kubu itu telah dibina oleh pelombong-pelombong Melayu dalam tahun 1780an untuk melampan bijih timah. Ampangan itu yang penjangnya hampir 1.6 kilometer dan lebarnya lebih 91.4 meter itu dibina dari tanah dan batang-batang kayu melintangi Sungai Kubu iaitu anak Sungai Selangor. Apabila Ampangan ini pecah dan roboh, pekan Kuala Kubu dan kawasan sekitarnya telah tenggelam.

Pembukaan Kuala Kubu pada kurun kelapan belas adalah disebabkan perlombongan bijih timah yang terawal di kawasan itu oleh orang-orang Melayu. Lombong ini juga menarik minat penduduk-penduduk dari berbagai kaum terutamanya orang-orang China.

Kuala Kubu juga menjadi Kubu pertahanan Raja Mahadi dan Syed Mashor menentang angkatan perang Tengku Kudin dalam perang saudara di Selangor pada tahun 1868 hingga tahun 1873. Banjir besar yang mengakibatkan ampangan itu pecah dan roboh telah menghanyutkan 38 buah rumah, mengorbankan 33 jiwa termasuk Cecil Ranking iaitu Pegawai Daerah dan Majistret pertama Inggeris di Kuala Kubu. Banjir ini juga turut memusnahkan harapan dan mata pencarian terutamanya orang-orang Melayu untuk meneruskan kerja-kerja melombong bijih dengan cara melampan.

Tragedi pecahnya ampangan Kuala Kubu ini juga dikenali sebagai ’Sejarah Kuala Kubu’. Akibat dari tragedi ini, Kuala Kubu sebagai sebuah mukim, pekan dan pusat pentadbiran jajahan Ulu Selangor tidak wujud lagi dalam sejarah. Pada tahun 1931 muncullah pekan Kuala Kubu Bharu bagi menggantikan pekan Kuala Kubu yang musnah ditenggelami air dan timbunan pasir. Kini Kuala Kubu Bharu ini terkenal dengan pusat latihan yang penting di Malaysia seperti Maktab Latihan Bomba Malaysia, Maktan Diraja Malaysia dan Pusat Latihan Belia Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen