Dewan_Tunku_Canselor_Universiti_Malaya-800px
Sejarah

Penubuhan Universiti Malaya

31 Mac 1949 – Pada tahun 1949, Majlis Perundangan Persekutuan, Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Rang Undang-Undang Penubuhan Universiti Malaya. Penubuhan universiti ini adalah sejajar dengan kehendak-kehendak yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Carr-Saunders.

Rang Undang-undang ini kemudiannya telah ditandatangani oleh Pesuruhjaya Agung British di Asia Tenggara, Mr Malcom MacDonald selaku Canselornya yang pertama. Dato Onn bin Jaafar, Menteri Besar Johor pada waktu itu telah dilantik sebagai salah seorang daripada Pro-Canselornya. Naib Canselornya yang pertama ialah Dr G. V. Allen.

Sebagai sebuah Universiti yang pertama di negara ini penubuhannya telah disambut dan dialu-alukan oleh semua golongan rakyat. Rang Undang-undang Penubuhan Universiti Malaya itu dianggap sebagai yang paling progresif dan mempunyai implikasi yang menyeluruh dan dinamik kepada perkembangan pelajaran di Tanah Melayu pada keseluruhannya.

 

dewan_tunku_canselor

Upacara yang menandakan kewujudan Universiti itu telah dilakukan pada 8 Oktober 1949 di Dewan Raffles College, Singapura apabila Raffles College dan King Edward VII College of Medicine diisytiharkan sebagai sebahagian daripada Universiti Malaya, sebagaimana yang diperlembagakan dalam Rang Undang-undang penubuhannya.

Kerja-kerja pembinaan bagi jangka masa sepuluh tahun yang pertama dianggarkan menelan belanja sebanyak $3 juta, sementara perbelanjaan rencam untuk jangka masa yang sama ialah $5 juta sehingga kini. Universiti Malaya masih terus kekal sebagai sebuah universiti tempatan yang unggul di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
universiti_malaysia_kelantan-800px
Sejarah

Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

31 Mac 2006 – Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan di negeri Kelantan telah dijadikan sebagai salah satu komponen dalam Rancangan Malaysia Ke-9 bagi menyokong pembangunan modal insan berkualiti dalam sektor pendidikan tinggi negara. YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menubuhkan sebuah universiti di Kelantan dalam pembentangan RMK-9 pada 31 Mac 2006.

Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan ini telah mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet pada 14 Jun 2006. Jemaah Menteri juga telah menetapkan supaya falsafah kurikulum pengajian di UMK berteraskan kepada pendidikan keusahawanan dan perusahaan (entrepreneurship education and enterprises) dalam semua program pengajian.

Oleh itu frasa rangsangan seperti Entrepreneurship is Our Thrust dan Entrepreneurial University digunakan dengan meluas. Pengkhususan pengajian untuk pembangunan jangka masa pendek dan sederhana dikelompokkan kepada tiga bidang pengajian iaitu Keusahawanan dan Perniagaan; Teknologi Kreatif dan Warisan dan Agro-industri dan Sains Sumber Asli.

Universiti Malaysia Kelantan

Universiti Malaysia Kelantan merupakan institut pengajian tinggi awam yang ke-19 ditubuhkan di Malaysia dan terletak di kampus sementara di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa. UMK telah mula beroperasi secara rasmi pada 1 Julai 2007 dengan pendaftaran pelajar sulung seramai 295 orang.

Kini, Universiti Malaysia Kelantan menumpang di Institut Perguruan Kota Bharu, Kota Bharu, Kelantan. Prof. Dato’ Ir. Dr. Zainai Mohamed telah dilantik sebagai naib canselor pertama Universiti Malaysia Kelantan, berkuatkuasa 1 Oktober 2006.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Lord_Louis_Mountbatten-800px
Sejarah

Pemerintahan Tentera British Di Tanah Melayu Tamat

31 Mac 1946 – Pemerintahan Tentera British atau BMA yang memerintah di Tanah Melayu selama kira-kira 7 bulan telah diisytiharkan tamat pada tahun 1946. Penamatan pemerintahan tentera British itu telah diisytiharkan dengan rasminya oleh Lientenant General Sir Frank M. Messevy sebagai wakil Sir Lord Mountbatten, Pegawai Pemerintah Tertinggi Bersekutu South East Asia Command.

Dengan itu berakhirlah satu era Pemerintahan Kerajaan Tentera yang julung kalinya diadakan di Tanah Melayu. Pemerintahan Tentera British atau BMA di Tanah Melayu bermula pada 12hb. September, 1945 setelah Jepun menyerah kalah. Pemerintahan secara tentera itu diletakkan di bawah arahan Sir Lord Mountbatten, Pegawai Pemerintah Tertinggi, Tanah Melayu. Ia dibahagikan kepada 9 wilayah di mana tiap-tiap wilayah diletakkan di bawah arahan Ketua-Ketua Wilayah yang dilantik sendiri oleh Pegawai Pemerintah Tertinggi.

Pembentukan Pemerintahan Tentera British yang dilaksanakan oleh Kerajaan British mempunyai matlamat dan tujuan tertentu di antara lain:-

  • Untuk mengamankan, mengawal serta memulihkan keselamatan Tanah Melayu akibat masalah perkauman dan bekalan makanan;
  • Untuk menghapuskan kegiatan dan ideologi komunis yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM);
  • Untuk mengawal pergerakan nasionalisme yang aktif dan radikal yang dipengaruhi oleh nasionalis Indonesia untuk menyatukan Tanah Melayu menjadi sebahagian Indonesia;

Gen_Sir_Frank_Messervy

Di dalam usaha-usaha untuk mencapai matlamat dan tujuan ini kerajaan tentera British atau BMA telah membentuk berbagai badan perancang yang bertanggungjawab dalam hal-hal pertahanan, perubatan, perhubungan, politik, teknikal, pengangkutan, pembekalan dan lain-lain. Sungguhpun berbagai badan telah dibentuk, BMA tidak berjaya memulihkan ekonomi Tanah Melayu seperti diharapkan oleh Kerajaan British.

Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan BMA berjaya di dalam usahanya memulihkan keamanan dan keadaan keselamatan yang membolehkan Inggeris berkuasa kembali di Tanah Melayu. Kerajaan Inggeris merasakan perubahan politik Tanah Melayu perlu dilakukan dengan membentuk semula sebuah kerajaan awam.

Pada 18 Mac, 1946, Lord Mountbatten telah mengarahkan pegawai-pegawainya bersiap sedia ke arah penamatan pemerintahan tentera British atau BMA ditamatkan dan digantikan dengan sistem pentadbiran baru yang dikenali dengan nama Malayan Union pada 1 April, 1946.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tanda_lalu_lintas-800px
Sejarah

Peraturan Tanda Isyarat Lalu Lintas Diwartakan

30 Mac 1946 – Pada tahun 1946, satu peraturan mengenai tanda isyarat lalu lintas bagi kenderaan bermotor telah diwartakan. Peraturan ini telah dibuat oleh Pesuruhjaya Pengangkutan Jalan yang menggunakan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 5 Pengisytiharan Pengangkutan Jalan dan telah disahkan oleh Timbalan Ketua Hal Ehwal Awam, Semenanjung Tanah Melayu.

Di bawah peraturan ini, tidak dibenarkan meletak sebarang tanda isyarat lalulintas di atas jalan raya, selain daripada tanda isyarat yang diletakkan atau mendapat persetujuan dari penguatkuasa jalan raya. Bagi tanda isyarat yang telah sedia ada pada 1 Mac 1946 di mana tidak termasuk dalam keperluan peraturan ini, Pesuruhjaya bolehlah membenarkan tanda isyarat tersebut disimpan dalam jangka masa yang ditentukan.

Peraturan juga menetapkan, tanda-tanda isyarat yang diletakkan berhampiran atau di atas jalan raya hendaklah mengikut saiz dan jenis tanda-tanda yang ditentukan dalam jadual. Juga ditetapkan perkataan-perkataan yang digunakan pada tanda-tanda isyarat hendaklah dalam Bahasa Inggeris. Terjemahan ke bahasa-bahasa lain adalah dibenarkan digunakan pada tanda-tanda isyarat tetapi hendaklah dituliskan di bawah perkataan Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
acv adnan
Sejarah

Kereta Perisai Malaysia ACV300 Adnan Dilancarkan

29 Mac 2003 – Pada tahun 2003, industri pertahanan negara mencatat sejarah dengan pelancaran unit pertama kereta perisai amfibi, ACV300 Adnan yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Turut hadir, Sultan Pahang, Tuanku Ahmad Shah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Mohd.Zahidi Zainuddin.

acv-300_adnan

ACV300 Adnan

Model kereta perisai ini dipasang sepenuhnya oleh syarikat tempatan, DRB-Hicom Defence Technology Sdn. Bhd. (Deftech), anak syarikat DRB-Hicom Bhd. Di Majlis tersebut, Yang di-Pertuan Agong berkenaan menyampaikan 48 unit kereta perisai ACV300 Adnan kepada Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Wira Mohamad Shahrom Abdul Rahman.

Nama kereta perisai ACV300 Adnan adalah mengambil nama sempena Leftenan Adnan, wira negara yang mempertahankan tanah air ketika menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
limestone_cliffs_kinta_train-800px
Sejarah

Perjanjian Mendapatkan Tanah Untuk Pembinaan Jalan Keretapi Dari Taiping Ke Prai

29 Mac 1898 – Satu perjanjian ditandatangani oleh Residen General negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Gabenor Negeri-negeri Selat berkenaan dengan pembelian tanah untuk tujuan pembinaan jalan keretapi pada tahun 1898. Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah membeli tanah di Seberang Prai untuk menyambung jalan keretapi dari Taiping ke Prai, di Seberang Prai.

Jalan keretapi ini dicadangkan dibina dalam masa lima tahun daripada tarikh perjanjian itu dan kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu berjanji tidak akan menggunakan tanah itu selain daripada tujuan tersebut.

keretapi

Jalan keretapi yang pertama telah dibina 13 tahun dahulu, iaitu dalam tahun 1885 dari Taiping ke Port Weld. Semenjak itu beberapa jalan keretapi lagi telah dibina kerana cara perjalanan ini sangat sesuai dan mudah, terutama bagi mengangkut bahan-bahan untuk dipasarkan. Bahan-bahan itu termasuk bijih timah yang digali di negeri Perak dan Selangor, dan dihantar melalui keretapi ke pelabuhan-pelabuhan Pulau Pinang dan Singapura ke pasaran-pasaran di Eropah.

Dengan pembinaan jalan keretapi itu perhubungan dan juga kegiatan ekonomi di antara negeri-negeri di Tanah Melayu, terutamanya di bahagian Pantai Barat semakin bertambah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kemerdekaan_malaysia
Sejarah

Pengumuman Dasar Kerakyatan Tanah Melayu

28 Mac 1951 – Pada tahun 1951, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengumumkan Rang Undang-Undang mengenai dasar kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu. Rang Undang-Undang ini adalah hasil dari cadangan-cadangan yang telah dibuat oleh Majlis Jawatankuasa Perhubungan Muhibah antara kaum. la adalah juga merupakan pindaan kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, bagi Fasal mengenai kerakyatan.

Menurut cadangan Rang Undang-Undang itu semua rakyat Persekutuan Tanah Melayu adalah berhak ke atas perkara-perkara politik. Semua rakyat dari berbagai kaum di jamin hak asasinya mengamalkan adat istiadat masing-masing dan dalam pada itu menjamin kedaulatan bangsa dan budaya Melayu sebagai teras kerakyatan dan kebangsaan. Rakyat Persekutuan adalah diwajibkan taat setia kepada Raja Pemerintahnya.

Bagi warganegara British atau tanah jajahannya ia berhak menjadi warganegara setelah mendaftarkan dirinya dan tidak meninggalkan Tanah Melayu selama 5 tahun. Seseorang perempuan warganegara British atau jajahannya yang berkahwin dengan warganegara Persekutuan hendaklah mengetahui dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu untuk membolehkan ia menjadi rakyat Persekutuan.

Seseorang warganegara British atau jajahannya yang ingin menukarkan kerakyatan asalnya kepada kerakyatan negara ini mestilah dapat menunjukkan bahawa ia telah melayakkan diri untuk diakui sebagai warganegara ini dengan berkelakuan baik, berbudi bahasa dan tinggal di negara ini selama 10 tahun dari 12 tahun sebelum membuat permohonan menjadi warganegara. Ia juga mesti mengetahui dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Tujuan Rang Undang-Undang ini adalah untuk melahirkan satu rupa bangsa bagi Tanah Melayu serta untuk menjamin keadilan dan hak setiap rakyat negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malacca_dutch-800px
Sejarah

Pembaharuan Perjanjian Belanda Dengan Selangor

28 Mac 1819 – Pada tahun 1819, Gabenor Belanda di Melaka yang baru, Timmerman Thyssen telah menghantar perjanjian lama Belanda dengan Selangor yang ditandatangani pada 20 Julai 1790 kepada pihak Selangor untuk memperbaharuinya.

Ini berikutan dengan pendudukan semula Belanda ke atas Melaka setelah ianya diserahkan kepada Inggeris untuk ditadbirkan sementara waktu sehingga keadaan pergolakan Perang Napoleon di Eropah selesai. Apabila Belanda mengambil balik pentadbiran Melaka daripada Inggeris itu, pihak Belanda telah menjalankan usaha mempererat perhubungan dengan Selangor seperti sebelum ini. Ini kerana pihak Belanda menyatakan rasa puas hatinya bahawa Selangor telah menolong Perak menentang Siam.

Oleh itu pada 3 Mei 1819, Gabenor Thyssen telah menghantar Hendrick Stecker menghadap Sultan Ibrahim, Sultan Selangor dengan membawa surat Gabenor tersebut dan juga perjanjian Belanda dengan Selangor yang baru untuk ditandatangani. Walau bagaimanapun Selangor telahpun mengikat perjanjian dalam tahun 1818 dengan pihak Inggeris di mana Inggeris mendapat monopoli bijih timah dari Selangor dan Selangor pula mendapat bekalan alat-alat pertahanan seperti meriam, peluru-peluru dan sebagainya.

Beberapa syarat lain perjanjian Inggeris-Selangor ini ialah Selangor tidak boleh memberi monopoli perdagangan kepada kuasa-kuasa lain dan juga mengikat perjanjian.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Muzium_Negeri_Sembilan-800px
Sejarah

Pindaan Perlembagaan Negeri Sembilan Diluluskan

27 Mac 1959 – Dalam tahun 1959, Majlis Negeri Sembilan telah meluluskan Pindaan Perlembagaan Negeri Sembilan. Majlis Negeri Sembilan yang lama akan dibubarkan pada 14 April 1959.

jata negeri sembilan

Pindaan utama di dalam Perlembagaan Negeri Sembilan ialah pembentukan Dewan Perundangan yang mempunyai 24 ahli dengan seorang Menteri Besar yang dipilih. Ia juga mewujudkan Dewan Keadilan dan Undang. Dewan ini akan memberi nasihat kepada pemerintah di dalam perkara-perkara yang dirujuk kepada Dewan ini oleh Pemerintah dan Undang.

Dewan ini dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Pindaan Perlembagaan ini juga telah mengiktiraf perlantikan Dato Shahbandar, Sungai Ujong. Pindaan Perlembagaan Negeri Sembilan telah banyak membawa perubahan di dalam sistem pentadbiran Negeri Sembilan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sultan_Abdul_samad_Building-800px
Sejarah

Pembukaan Rasmi Mahkamah Agung

26 Mac 1984 – Pembukaan Rasmi Mahkamah Agung telah disempurnakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda, Sultan Haji Ahmad Shah bertempat di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Dalam upacara tersebut baginda telah berkenan memeriksa perbarisan kehormat 107 anggota Batalion 11 Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Ismail Haniffah dengan diiringi 60 anggota Pancaragam Pusat Kor Kovalri Diraja.

Keberangkatan baginda ke dalam Mahkamah Agung diiringi oleh Pemangku Perdana Menteri – Datuk Musa Hitam, Ketua Hakim Negara – Tan Sri Haji Mohd Salleh Abas, Hakim Mahkamah Persekutuan – Tan Sri Wan Sulaiman Pawan Teh, Hakim Besar Malaya – Tan Sri Abdul Hamid Omar dan Hakim Besar Borneo – Tan Sri Lee Hun Hoe. Baginda turut berkenan melawat ke Dewan Penghakiman, bilik Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan bilik Tan Sri Abdul Hamid Omar.

Dalam titah perasmiannya baginda berharap agar dengan pembinaan bangunan mahkamah baru dan pembaikan mahkamah lama, urusan pentadbiran kehakiman dan perbicaraan dapat dijalankan dalam keadaan yang lebih selesa dan sesuai. Mahkamah Agung melambangkan kemuncak bidang kehakiman di negara ini dan mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Malaysia. Mulai daripada 1 April 2007, Mahkamah Agung telah berpindah ke Jalan Duta secara berperingkat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard