ngah_ibrahim-800px
Sejarah

Ngah Ibrahim Diberi Kuasa Ke Atas Larut

30 November 1857 – Ngah Ibrahim diberi kuasa ke atas Larut pada tahun 1857. Pengiktirafan dan penyerahan kuasa ke atas seluruh daerah Larut ini dibuat berikutan kematian bapanya Long Ja’afar.

Long Ja’afar merupakan orang pertama yang meramalkan kepentingan Larut akan menjadi terkenal kerana sumber bijih timahnya. Menyedari akan kepentingan Larut, beliau telah membeli satu persatu kawasan bijih di Daerah Larut.

Berikutan daripada itu pada tahun 1850, Ngah Ali telah memberikan hak milik daerah tersebut kepada Long Ja’afar. Pada 23 Oktober 1863, Ngah Ibrahim telah dianugerahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Jaafar Muazzam Shah dengan gelaran Orang Kaya Menteri Larut.

Penganugerahan gelaran tersebut adalah sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang beliau kepada baginda sultan terhadap perkembangan serta kemajuan perusahaan melombong bijih timah di daerah Larut. Penganugerahan ini juga telah meletakkan Ngah Ibrahim sebagai orang yang berkuasa penuh di Larut. Ngah Ibrahim bebas untuk membuat perhubungan dengan mana-mana kuasa luar tanpa persetujuan dan kebenaran Sultan Perak.

Bagaimanapun setelah termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, kuasa mutlak Ngah Ibrahim terhadap daerah Larut telah dilucutkan oleh pentadbiran Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
replika_istana_raja_melewar_rembau-800px
Sejarah

Perjanjian Inggeris – Rembau 1831

30 November 1831 – Pada tahun 1831, satu perjanjian Persahabatan dan Kerjasama telah dipersetujui di antara Kerajaan Inggeris dengan Penghulu Raja Ali dan Empat Suku yang memerintah Rembau dan Jajahan Takluknya. Kerajaan Inggeris telah diwakili oleh Robert Ibbetson, Residen Singapura, Pulau Pinang, Melaka dan Jajahan Takluknya. Perjanjian Inggeris – Rembau ini melibatkan soal-soal kawasan penempatan, perniagaan dan pengiktirafan Inggeris terhadap Rembau sebagai sebuah negeri yang merdeka.

Di antara kandungan perjanjian Inggeris – Rembau ini adalah :

  1. Kerajaan Inggeris mengakui bahawa Penghulu Raja Ali dan Empat Suku sebagai Ketua Pemerintah Rembau dan Jajahan Takluknya. Orang-orang Inggeris dan Orang-orang Rembau menjalinkan persahabatan dengan ikhlas dan jujur dan kedua-dua pihak tidak akan menimbulkan sebarang permusuhan di antara satu sama lain.
  2. Jika sesuatu pihak mempertikaikan sesuatu kawasan yang terletak di sempadan bersama, Ketua Pemerintah salah satu pihak hendaklah menghantar surat dan pegawai masing-masing menemui salah seorang Ketua Pemerintah daerah berkenaan untuk menyelesaikan masalah sempadan itu dengan cara persahabatan.
  3. Kedua-dua pihak bersetuju tidak boleh memasuki untuk mengejar, menangkap dan membawa balik rakyat yang lari dari daerah masing-masing ke dalam daerah salah satu pihak tetapi hendaklah melapor dan minta pulangkan orang itu dengan cara yang baik. Pihak pemerintah yang menangkap orang yang lari itu bebas memutuskan sama ada hendak memulangkan atau tidak.
  4. Dari segi perniagaan salah satu pihak dikehendaki melindungi sampan-sampan dan tongkang-tongkang pihak yang datang berniaga. Sebelum memasuki sesuatu daerah, peniaga-peniaga hendaklah mendapat kebenaran kastam daerah yang hendak dimasuki dan peniaga-peniaga terikat dengan undang-undang di dalam daerah-daerah yang dimasuki. Kedua-dua pihak pula bersetuju untuk menentang lanun-lanun bagi mengekalkan keselamatan perniagaan dan pelayaran.

Perjanjian lapan perkara ini menjadi garis panduan kepada kedua-dua pihak bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
lambang_kedah-800px
Sejarah

Perjanjian Di Antara Negeri Kedah Dengan Encik Frank Powell

29 November 1890 – Pada tahun 1890, satu perjanjian mengenai pengajaran bahasa Inggeris telah ditandatangani di antara kerajaan negeri Kedah dengan Encik Frank Powell, seorang guru terlatih kelulusan Maktab Perguruan Negeri Scotland. Perjanjian Di Antara Negeri Kedah Dengan Encik Frank Powell ini diwakili oleh baginda Sultan Kedah iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Halim Shah, manakala Encik Frank Powell telah hadir sendiri bagi pihaknya.

Tujuan utama perjanjian ini ialah untuk melantik dengan rasmi Encik Frank Powell sebagai Guru bahasa Inggeris kepada keluarga Diraja Kedah serta menjadi Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Kedah. Perjanjian yang mengandungi 7 perkara ini, antara lain menetapkan bahawa :-

  • Encik Frank Powell terikat di dalam tugas-tugasnya dengan Kerajaan Kedah selama lima tahun mulai 9 April 1891.
  • Encik Frank Powell akan dibayar gaji sebanyak $170/- sebulan berserta elaun kenderaaan (iaitu kuda) sebanyak $30/- sebulan, tempat tinggal percuma dan lain-lain kemudahan.
  • DYMM Sultan Kedah berhak membatalkan dengan serta merta keseluruhan perjanjian ini sekiranya, Encik Frank Powell didapati bersalah, berkelakuan tidak baik atau gagal menurut perintah Sultan.
  • Kedua-dua pihak yang terlibat berhak menamatkan perjanjian ini dengan cara mengeluarkan 3 bulan notis menyatakan hasratnya kepada pihak kedua. Tetapi sekiranya DYMM Sultan Kedah yang mengeluarkan notis seperti itu, Encik Frank Powell berhak mendapat gaji, perbelanjaan-perbelanjaan yang berkaitan serta tambang Kelas Pertama balik ke England di dalam kapal laut.

Perjanjian Encik Powell mengajar bahasa Inggeris kepada DYMM Sultan Kedah pada hari ini dalam tahun 1890, merupakan satu perjanjian yang bermakna memandangkan negeri Kedah pada masa itu, belum mempunyai sistem pendidikan formal. Dengan termeterainya perjanjian ini, bermulalah sistem pendidikan bagi keluarga Diraja Kedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
upsi-800px
Sejarah

Pembukaan Maktab Perguruan Sultan Idris

29 November 1922 – Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim telah dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Setiausaha bagi Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, W.G. Maxwell pada tahun 1922. Pembukaan Maktab Perguruan Sultan Idris merupakan puncak pelajaran anak-anak Melayu ketika itu, terutama bagi pelajar-pelajar lepasan sekolah-sekolah Melayu yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi dari setakat darjah enam. Keputusan untuk menubuhkan Maktab ini dibuat dalam Mesyuarat Residen-residen British pada 10 Mei 1917.

Keputusan tersebut diambil berdasarkan laporan mengenai perkara itu yang dicadangkan oleh Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negcri Melayu Bersekutu, R.O. Winstedt. Beliau juga mencadangkan maktab ini diberi nama Maktab Perguruan Sultan Idris, sebagai satu penghormatan kepada DYMM Sultan Idris, iaitu Sultan Perak kerana minat yang ditunjukkan oleh Baginda dalam perkembangan pelajaran di negeri itu khususnya bagi pelajaran anak-anak Melayu.

Kerja-kerja membina maktab ini bermula dalam tahun 1919 dan siap pada tahun 1922. Sekumpulan 120 orang telah menjadi pelajar perintis maktab ini. Pengetuanya yang pertama ialah O.T. Dussek dan tenaga pengajar lain terdiri daripada tujuh orang guru Melayu, tiga orang Eropah dan seorang guru anyaman berbangsa Filipina. Tujuan utama penubuhan maktab ini ialah untuk menyediakan guru-guru yang dapat memajukan bidang pertanian, pertukangan dan anyaman apabila mereka pulang ke kampung. Pelajaran pertanian asas merupakan matapelajaran utama.

Walau bagaimanapun, pelatih-pelatih lepasan MPSI telah mencapai kejayaan lebih jauh dari matlamat penubuhannya. Pengaruh buku-buku Indonesia dan Sejarah Alam Melayu yang terdapat di maktab itu telah menanam bibit-bibit kesedaran kebangsaan di kalangan beberapa orang pelajar hingga melahirkan tokoh-tokoh politik yang terkemuka seperti Ibrahim Yaakub, Senu Abdul Rahman, Abdul Ghaffar Baba, Abdul Rahman Talib dan lain-lain lagi.

Di samping tokoh-tokoh politik, MPSI juga telah melahirkan sasterawan terkenal tanahair dan juga tokoh-tokoh dalam bidang pendidikan seperti Harun Aminurrashid, Abdullah Sidik, Masuri, S.N. Kemala, A. Wahab Ali, Awang Had Salleh dan Atan Long.

Jabatan Karang-Mengarang yang ditubuhkan di maktab tersebut dalam tahun 1925, membantu melahirkan tokoh-tokoh berkenaan khususnya di bidang kesusasteraan. Jabatan ini bergiat cergas menerbitkan berbagai- bagai jenis buku pelajaran, buku-buku terjemahan dan karya asli pelajar-pelajar sendiri.

MPSI terus berkembang dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman. la kini membuka pintunya kepada pelajar-pelajar perempuan, memecahkan tradisi lama maktab yang hanya mengambil pelajar lelaki.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
hugh_clifford-face-800px
Sejarah

Labuan Dijadikan Anggota Negeri-Negeri Selat

28 November 1899 – Pada tahun 1899, Pulau Labuan dijadikan anggota Negeri-negeri Selat adalah merupakan kawasan penaklukan Inggeris yang digunakan sebagai pusat perdagangan dan sebagai tapak untuk memperluaskan jajahannya. Penjajahan Inggeris yang telah berjaya bertapak di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka mula mengalihkan pandangannya ke Pulau Borneo dan kawasan sekitarnya pada pertengahan abad Ke-19.

Langkah pertama tindakan Inggeris ialah mendapatkan penempatan untuk mengawal dan mengawasi perdagangan di Pulau Borneo dan Makasar. Sungguhpun pada bulan Januari 1763, seorang wakil Inggeris, Alexander Dalrymple telah berjaya mendapatkan Pulau Balambangan dari kesultanan Sulu tetapi Inggeris terpaksa meninggalkan Pulau tersebut pada tahun 1804 setelah beberapa kali diserang oleh orang-orang Sulu yang tidak bersetuju penyerahan pulau itu kepada Inggeris. Dengan kehilangan Pulau Balambangan sebagai tempat bertapak, Inggeris terpaksa mencari tempat penggantinya.

Hugh_Charles_Clifford

Hugh Charles Clifford

Pada tahun 1844 Kerajaan British dapat menjalinkan perhububgan diplomatik dengan kesultanan Brunai setahun berikutnya iaitu pada tahun 1845 Inggeris berjaya mendapatkan Pulau Labuan. James Brooke telah dilantik sebagai Gabenor Pertama untuk mentadbir Pulau tersebut tetapi akhirnya beliau telah dilucutkan dan digantikan oleh seorang pegawai Inggeris yang lain. Diantara Gabenor-gabenor Labuan yang terkenal ialah Hugh Clifford yang pernah berkhidmat di Negeri Pahang.

Pulau Labuan tidak banyak memberi keuntungan kepada pihak Inggeris. Ia tidak berjaya sebagai pusat perdagangan seperti Pulau Pinang atau Pualau Singapura. Pentadbiran Inggeris di Pulau Labuan merugikan. Untuk menampung perbelanjaan Pulau Labuan, maka pada hari ini dalam tahun 1899, Labuan telah dijadikan anggota Negeri-negeri Selat. Dengan ini Pulau Labuan diperairan Pulau Borneo telah disatukan dengan Pulau Pinang, Melaka dan Singapura di Semenanjung Tanah Melayu sebagai Negeri-negeri Selat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Perbarisan Pengampunan Untuk Pengganas Komunis

27 November 1955 – Pada tahun 1955, satu perbarisan besar-besaran telah diadakan di Kuala Lumpur. Perbarisan itu bertujuan untuk merayu pengganas komunis supaya menyerah diri secara sukarela dan kerajaan akan mengampunkan mereka. Seramai 12 ribu menyertai Perbarisan Pengampunan Untuk Pengganas Komunis yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra.

Inilah kali pertama perarakan seperti ini diadakan dalam usaha memujuk anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM) supaya bekerjasama dengan kerajaan bagi memulihkan semula keamanan dan keharmonian. Perbarisan tersebut merupakan tindakan susulan kepada perisytiharan “Pengampunan Beramai-Ramai Pengganas Komunis” yang diumumkan pada 9 September 1955.

Perisytiharan tersebut tidak mendapat sambutan yang menggalakkan dari PKM. Mereka sebaliknya bersikap lebih liar dan mempersoalkan kewibawaan perisytiharan tersebut yang kononnya dibuat oleh mereka yang belum layak dipanggil ‘pemimpin’ kerana Tanah Melayu belum lagi merdeka.

Perisytiharan pengampunan itu mengandungi jaminan bahawa kerajaan akan memberikan layanan sewajarnya kepada pengganas yang menyerah diri secara sukarela. Kerajaan juga akan memberikan pertimbangan kepada pengganas yang telah bertaubat dan ingin menetap di negara ini. Kepada yang ingin pulang ke negeri masing-masing bantuan akan diberi untuk menguruskan kepulangan mereka.

Dalam pada itu, PKM meningkatkan lagi keganasan mereka dibeberapa kawasan seperti Cameron Highlands, Johor dan Negeri Sembilan. Sehingga akhir November 1955, hanya 30 sahaja pengganas yang tampil dengan sukarela menyahut perisytiharan itu. Memandangkan keganasan yang kian merebak dan sambutan yang agak dingin terhadap tawaran pengampunan tersebut, maka kerajaan telah memansuhkan perisytiharan pengampunan ini pada 1 Disember 1955.

Perbarisan pengampunan untuk komunis pada hari ini dalam tahun 1955, membuktikan rakyat sedar serta inginkan keamanan serta kehidupan yang sejahtera demi menjamin kemerdekaan Tanah Melayu. Walaubagaimanapun, kedegilan anggota-anggota PKM untuk berkerjasama dengan kerajaan telah menyebabkan pemerintahan darurat di Tanah Melayu berlarutan selama 12 tahun.

Akhirnya pada 31 Julai 1960, Tanah Melayu diisytiharkan pulih dari bencana itu, setelah menanggung kerugian harta benda dan korban jiwa yang tidak ternilai.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Flag_of_the_British_Straits_Settlements_(1925-1942)-800px
Sejarah

Piagam Pembentukan Negeri-Negeri Selat

27 November 1826 – Pada hari ini dalam tahun 1826, melalui satu piagam Pembentukan Negeri-Negeri Selat yang dipanggil Charter of Incorporation, negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka dan Singapura telah tadbirkan di bawah satu pentadbiran yang disebut sebagai Negeri-negeri Selat.

Pentadbiran Negeri-Negeri Selat diketuai oleh Gabenor dengan dibantu oleh sebuah majlis (council) dan sejumlah besar kakitangan awam. Pulau Pinang, Melaka dan Singapura masing-masing ditadbir oleh Resident Councillor selaku pembantu kepada Gabenor.

coat_of_arms_of_the_straits_settlements

Pentadbiran Negeri-Negeri Selat mengamalkan polisi perdagangan bebas dan ini menyebabkan timbulnya masalah kewangan untuk menampung perbelanjaan pentadbiran kerana sebahagian besar sumber pendapatan negara hanya bergantung kepada cukai ke atas candu, judi dan arak. Akibatnya Kerajaan Inggeris di India terpaksa membantu menampung perbelanjaan pentadbiran Negeri-Negeri Selat tersebut.

Oleh itu dalam tahun 1830 Kerajaan Inggeris mengambil keputusan untuk menjadikan Negeri-Negeri Selat sebagai Residensi yang ditadbir oleh Kerajaan Inggeris di Bengal. Akibat dari pertubuhan taraf ini jawatan Gabenor telah diturunkan kepada jawatan Residen, manakala jumlah kakitangan awam telah dikurangkan untuk mengurangkan perbelanjaan pentadbiran. Walau bagaimanapun jawatan Gabenor diwujudkan semula dalam tahun 1832. Pada tahun ini juga pusat pentadbiran Negeri-Negeri Selat telah dipindahkan dari Pulau Pinang ke Singapura.

Pada tahun 1851, Negeri-Negeri Sleat ditadbirkan pula oleh Gabenor General di India. Dalam tahun 1858, pentadbirannya diubah pula di mana Negeri-Negeri Selat diletakkan di bawah pemerintahan Viceroy di Culcutta. Akhirnya dalam tahun 1867, Negeri-Negeri Selat dijadikan tanah jajahan British apabila pentadbirannya diambil alih oleh Pejabat Tanah Jajahan (Colonial Office) di London.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Map_of_the_city_of_Malakka-800px
Sejarah

Perjanjian Persahabatan Johor-Riau-Belanda

26 November 1818 – Pada tahun 1818, satu perjanjian persahabatan telah ditandatangani di antara Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang Sultan Abdul Rahman dan Yamtuan Muda Raja Jaafar, dengan Laksamana Wolterback bagi pihak pemerintah Belanda di Melaka.

Perjanjian Persahabatan Johor-Riau-Belanda ini adalah sebagai membaharui perhubungan persahabatan yang telah terjalin di antara kedua-dua kerajaan sebelum Melaka diserahkan kembali oleh Inggeris kepada Belanda. Dengan perjanjian ini juga kerajaan Belanda mengakui bahawa Sultan Abdul Rahman sebagai Sultan bagi kerajaan Johor-Riau-Lingga dan Pahang.

Perjanjian persahabatan ini dibuat setelah Inggeris, melalui wakilnya William Farquhar memberitahu Sultan Abdul Rahman kononnya Belanda akan datang menyerang dan mungkin akan mengambil Riau dan Lingga. Farquhar yang menemui Sultan Abdul Rahman dalam bulan Julai 1818, menyuruh Sultan bersiap sedia dan berjanji bahawa Inggeris akan membantu.

Sultan Abdul Rahman menyerahkan perkara itu kepada Yamtuan Muda Raja Jaafar. Farquhar telah memujuk Raja Jaafar supaya membuat perjanjian dengan Inggeris. Perjanjian itu telah dimeteraikan pada 19 Ogos 1818 dan antara kandungannya ialah menetapkan bahawa hanya Inggeris yang berhak menguasai hasil dagangan dalam daerah kekuasaan Sultan Johor.

Dalam bulan September 1818, Inggeris menyerahkan semula Melaka kepada Belanda. Seorang sahabat lama Yamtuan Muda Raja Jaafar, Adriaen Koek yang tinggal di Melaka mendapat tahu mengenai fitnah Inggeris ke atas Belanda itu. Beliau telah pergi menemui Raja Jaafar dan menafikan khabar angin tersebut. Pemerintah Belanda di Melaka juga telah menolak semua tuntutan Inggeris yang terkandung dalam perjanjian 19 Ogos 1818 itu.

Panglima Laut Belanda, Laksamana Wolterback diiringi oleh Adriaen Koek telah diutus ke Riau. Yamtuan Muda Raja Jaafar telah menyatakan kesalnya kerana menandatangani perjanjian dengan Inggeris itu lalu mencadangkan supaya satu perjanjian baru dibuat antara kerajaan baru dibuat antara kerajaan Riau-Lingga dengan Belanda bagi menjamin keselamatan Riau-Lingga.

Maka pada hari ini dalam tahun 1818, Perjanjian Johor-Riau dan Belanda ini telah ditandatangani sebagai menghapuskan rasa curiga di antara kedua-dua pihak akibat dari fitnah Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kampung_melayu-800px
Sejarah

Enakmen Tanah Simpanan Melayu Diluluskan

25 November 1913 – Pada tahun 1913, Majlis Persekutuan telah meluluskan Enakmen Tanah Simpanan Melayu. Enakmen ini telah diwartakan pada 1 Januari 1914, dan berkuatkuasa di tiap-tiap Negeri Melayu Bersekutu.

Enakmen Tanah Simpanan Melayu ini mengandungi 16 fasal. Antara lain ia menegaskan bahawa semua tanah yang diisytiharkan sebagai Tanah Simpanan Melayu sama sekali tidak boleh dijual, disewa atau diserahkan kepada sesiapa juga yang bukan berbangsa Melayu.

Perlaksanaan Enakmen Tanah Simpanan Melayu diserahkan kepada tiap-tiap kerajaan Negeri. Oleh itu, tiap-tiap kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kawasan-kawasan tertentu menjadi kawasan simpanan Melayu.

Perak merupakan negeri yang terawal sekali melaksanakan Enakmen Tanah Simpanan Melayu. Perisytiharan tersebut dibuat ke atas 13 kawasan di daerah Larut pada 5 Jun 1914. Ini diikuti dengan Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

Sehingga tahun 1923, terdapat seluas kira-kira 1,126,700 hektar atau 15.58 peratus dari keluasan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah dijadikan Tanah Simpanan Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard