Sejarah

Penanaman Pokok-Pokok Getah Hevea Brasiliensis Yang Pertama Di Tanah Melayu

03 Oktober 1877 – Pada tahun 1877, pokok-pokok getah Hevea Brasiliensis yang pertama di Tanah Melayu telah ditanam di Kuala Kangsar, Perak oleh H.J. Murton, Penguasa Botanical Gardens, Singapura. Sebanyak 9 biji benih getah Hevea Brasiliensis telah ditanam di halaman rumah Residen British Perak, Sir Hugh Low. Bermula dari itu, penanaman pokok getah terus berkembang dan sehingga kini dianggarkan tanaman getah negara meliputi kawasan seluas 1.7 juta hektar.

Hevea_brasiliensis

Hevea Brasiliensis

Bekalan yang pertama sebanyak 50 biji benih pokok dari Sri Lanka telah dihantar ke Singapura tetapi disebabkan oleh kelambatan di dermaga, usaha ini telah menemui kegagalan. Bekalan kedua sebanyak 22 biji getah telah dihantar dari Taman Kew, England ke Singapura dalam tahun 1877. Sebahagian daripadanya telah ditanam di Botanical Garden Singapura, manakala selebihnya ditanam di Kuala Kangsar.

Pokok Getah

Pokok Getah

Kini, selepas lebih seabad masa berlalu, pokok getah yang dahulunya dianggap tidak menarik, kini telah menjadi bahan ekonomi yang penting di Malaysia. Dengan wujudnya Lembaga Getah Malaysia, tanaman getah berupaya melonjakkan ekonomi negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
water_tap-800px
Sejarah

Kerajaan Johor Dan Singapura Menandatangani Perjanjian Air Yang Baru

02 Oktober 1961 – Pada tahun 1961, Kerajaan negeri Johor dan Singapura telah menandatangani perjanjian air yang baru. Upacara menandatangani perjanjian yang berlangsung di Bukit Timbalan, Johor Bahru, Johor adalah bagi menggantikan perjanjian yang sama pada tahun 1927 di antara Pesuruhjaya Perbandaran Singapura dengan Sultan Johor.

Mengikut perjanjian 1927, Kerajaan Singapura hanya dibenarkan mengambil sumber airnya dari kolam air di Gunung Pulai. Dengan perjanjian air yang baru ini, Singapura mendapat sumber air yang baru iaitu dari Sungai Skudai dan Sungai Tebrau. Keperluan untuk mendapatkan sumber baru ini ialah ekoran permintaan yang tinggi kerana bertambahnya bilangan penduduk serta aktiviti-aktiviti perindustrian.

Perjanjian air yang baru ini berkuatkuasa selama 50 tahun dan ianya boleh disemak semula selepas 25 tahun sekiranya berlaku perubahan dari segi kos pengeluaran dan kuasa membeli wang (purchasing power of money). Di antara syarat perjanjian ini, Majlis Bandaraya Singapura dikehendaki membayar 3 sen kepada kerajaan Johor bagi setiap 1000 gelen air yang disalurkan melalui Tambak Johor. Majlis juga dikehendaki membekalkan tidak lebih 12% daripada jumlah yang dibekalkan ke Singapura atau tidak kurang dari 4 juta gelen air ke negeri Johor setiap hari. Kerajaan Johor boleh meminta untuk menambahkan bekalan air dari Singapura untuk memenuhi keperluannya.

Kerajaan Johor pula dikehendaki membayar sebanyak 50 sen bagi setiap 1000 gelen air bersih yang dibekalkan oleh Singapura. Kerajaan negeri juga memberi hak yang penuh kepada Majlis Bandaraya Singapura untuk mengambil air dari kolam air Gunung Pulai, Sungai Tebrau dan Sungai Skudai, membina bangunan serta mengawasi kerja-kerja mengenai pembekalan air.

Menurut perjanjian ini lagi, Majlis Bandaraya Singapura dikenakan bayaran sewa tahunan sebanyak $5 satu ekar bagi tanah yang direzabkan untuk kerja-kerja tersebut. Ini meliputi 7043 ekar tanah di Gunung Pulai dan Pontian, 32 ekar di Tebrau dan 120 ekar di Sungai Skudai.

Dengan termetrinya perjanjian ini, kerja-kerja bagi projek Sungai Skudai dimulakan dengan serta merta dan ia dijangka siap dalam tempoh 2 tahun. Menurut En. P.C. Lim, Jurutera Air Singapura, dengan pembangunan skim Sungai Skudai yang bernilai $20 juta serta tambahan di masa hadapan bagi projek Sungai Johor, kedua-dua negeri tidak akan menghadapi masalah yang berhubung dengan bekalan air.

Perjanjian ini ditandatangani oleh Y.Bhg Dato’ Abdul Rahman Musa, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Y.Bhg Dato’ D.C. Jackson, Penasihat Undang-Undang Negeri bagi pihak Kerajaan Johor serta En. Woon Wah Siang, Ketua Pegawai Pentadbir Majlis Bandaraya Singapura dan En. SS Scales, Bendahari Bandaraya bagi pihak Singapura.

Perjanjian air yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1961 sesungguhnya memberi keistimewaan kepada Singapura yang memperolehi sumber air yang baru dari Kerajaan Johor dengan bayaran yang rendah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
perkeso_logo-800px
Sejarah

Penubuhan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)

01 Oktober 1971 – Pada tahun 1971, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah ditubuhkan di bawah Kementerian Buruh dan Tenaga Manusia untuk melaksana dan mentadbir Skim-skim Keselamatan Sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969, iaitu Skim Insuran Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat. Pada 1 Julai 1985, status PERKESO sebagai Jabatan Kerajaan telah diubah kepada sebuah Badan Berkanun.

Sejarah bermula pada tahun 1958, apabila kajian keselamatan sosial telah dijalankan oleh pakar dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (I.L.O) dan pada tahun 1962 sebuah jawatankuasa tertinggi dibentuk untuk mengkaji hasil kajian ini. Hasil daripada laporan kajian tersebut, telah menjadi asas kepada Akta Keselamatan Sosial yang telah diluluskan oleh Parlimen dalam tahun 1969 dengan tujuan untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja-pekerja dan tangungan mereka.

Pada 1 Julai 1972 Akta Keselamatan Sosial 1969 dengan rasminya dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak bin Hussein. Sesungguhnya penubuhan PERKESO pada hari ini telah memberi perlindungan keselamatan sosial yang sangat bermakna kepada pekerja-pekerja dan tanggungannya serta mempertingkatkan tahap kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard