misc_logo-800px
Sejarah

Perjanjian Hutang Darah Pendudukan Tentera Jepun Ditandatangani

21 September 1967 – Pada tahun 1967, Malaysia dan Jepun telah menandatangani Perjanjian Bayaran Muhibah bagi melunaskan Hutang Darah Pendudukan Tentera Jepun di Tanah Melayu (1941-1945). Upacara itu telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putera dan Tuan T. Kojima, Duta Jepun di Malaysia.

Perjanjian ini adalah hasil dari perbincangan awal di antara YTM Tengku Perdana Menteri dengan Perdana Menteri Jepun, Tuan Eiko Sato iaitu dalam rangka kerjasama ekonomi yang diadakan di Tokyo pada bulan Mei tahun 1967. Mengikut perjanjian yang ditandatangani itu Kerajaan Jepun akan menghadiahkan Malaysia dua buah kapal.

YTM Tunku Abdul Rahman menganggap perjanjian ini adalah penting dalam usaha untuk menubuhkan syarikat perkapalan sendiri. Beliau menegaskan bahawa sudah sampai masanya Malaysia perlu mempunyai sebuah syarikat perkapalannya sendiri. Tunku menyatakan kerajaan akan membukakan saham kepada para hartawan di Malaysia untuk membolehkan pembelian kapal-kapal laut yang lebih banyak lagi. Segala bantuan yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Jepun dalam perjanjian ini akan dikuatkuasakan mulai dari hari ini dalam tahun 1967 dan hendaklah diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.

Duta Jepun ke Malaysia, Tuan T. Kojima dalam ucapannya setelah selesai menandatangani perjanjian itu berharap bahawa kapal yang diberikan oleh kerajaan Jepun itu akan dapat membantu Malaysia dalam menubuhkan Syarikat Perkapalan Kebangsaannya sendiri.

Bermula dari perjanjian ini dan diikuti dengan usaha-usaha yang gigih Malaysia kini telah berjaya mendirikan sebuah syarikat perkapalan kebangsaannya sendiri yang dikenali sebagai Malaysia International Shipping Corporation Berhad atau ringkasnya MISC yang bergerak sebagai sebuah syarikat swasta.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
felcra_bhd-800px
Sejarah

Penubuhan Lembaga Pemulihan Dan Penyatuan Tanah Persekutuan

20 September 1964 – Pada tahun 1964, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak bin Dato Hussein telah mengumumkan penubuhan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Objektif penubuhannya ialah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada para belia dan keluarga yang tidak memiliki tanah melalui pembukaan Rancangan Tanah Belia dan Rancangan Tanah Pinggir. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi serta meninggikan daya pengeluaran. Pada 1 April 1966 di bawah Akta (diperbadankan) Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara 1966 FELCRA telah ditubuhkan dengan rasminya.

Mulai 1 September 1997, FELCRA telah dikorporatkan dan ditukar kepada FELCRA Bhd. serta penukaran statusnya daripada sebuah Badan Berkanun kepada sebuah syarikat milik penuh kerajaan. Penukaran entiti korporat ini bagi membolehkan FELCRA Bhd. melebarkan cabangnya ke bidang perniagaan yang baru selaras dengan aspirasi nasional.

Sejak penubuhannya, FELCRA telah membantu dalam mengisi kemerdekaan negara dengan membangunkan sektor luar bandar melalui penggalakkan penggemblengan tenaga penduduk dalam aktiviti ekonomi negara yang sekaligus membantu meningkatkan taraf kehidupan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tabung_haji_logo-800px
Sejarah

SPB Yang Di-Pertuan Agong Merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan Dan Tabung Haji

19 September 1985 – DYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Iskandar merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) di Jalan Tun Razak pada tahun 1985. Bangunan setinggi 38 tingkat ini berharga RM109.4 juta sebagai menggantikan bangunan lama LUTH di Jalan Ipoh yang kini menjadi Bangunan Cawangan LUTH Wilayah Persekutuan.

tabung haji

Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji adalah satu-satunya bangunan tinggi yang unik di bandar raya Kuala Lumpur kerana reka bentuknya yang melambangkan pendekatan revolusioner dan mengandungi falsafah yang berkaitan dengan kelima-lima rukun Islam. Ibu Pejabat Tabung Haji ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan moden seperti dewan serbaguna, kafeteria, pusat riadah, ruang pejabat dan ruang letak kereta bertingkat.

Selain menggunakan sendiri, pihak Tabung Haji juga menyewakan ruang pejabat di bangunan ini kepada pihak-pihak swasta sebanyak 75% ruang pejabat disewakan dengan mendapat hasil RM8.9 juta. Dengan perasmian Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan Dan Tabung Haji pada hari ini dalam tahun 1985 telah membuktikan kejayaan pengurusan pihak LUTH bagi meninggikan syiar dan meningkatkan penglibatan umat Islam dalam bidang ekonomi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Museum,_Ipoh-800px
Sejarah

Persatuan Melayu Perak Ditubuhkan

18 September 1937 – Persatuan Melayu Perak ditubuhkan pada tahun 1937 dan merupakan salah satu daripada pertubuhan sosial yang pernah bergerak di Daerah Kinta telah. Penubuhannya adalah hasil dari keputusan satu perjumpaan yang telah diadakan di Dewan Bandaran Ipoh. Seramai 104 orang telah menghadiri perjumpaan tersebut, kebanyakannya terdiri daripada kakitangan kerajaan yang berpendidikan Inggeris.

Persatuan Melayu Perak ditubuhkan dengan tujuan untuk menggalakkan kerjasama antara ahli, meninggikan taraf pelajaran dan ekonomi, memberi peluang kepada ahli-ahli melahirkan taat setia kepada Great Britain, kerajaan dan raja serta bekerjasama dengan pihak Inggeris demi memajukan kepentingan orang Melayu. Jawatankuasa persatuan ini terdiri daripada seorang pengerusi, timbalan pengerusi, dua orang setiausaha dan 17 orang wakil dari setiap daerah.

Hampir semua ahli jawatankuasa yang dilantik mempunyai pelajaran Inggeris dan bekerja dengan kerajaan. Diantara mereka ialah Wan Mohd Nor bin Wan Nasir (pengerusi), Encik Ali (setiausaha) dan Encik Laidin (setiausaha penerangan). Keahlian Persatuan ini tidak dibuka kepada golongan atasan kerana persatuan ini tidak mahu menyentuh kehormatan dan kemuliaan mereka.

Ini telah menimbulkan kecurigaan Inggeris, sehingga pihak pendaftar telah meminta Yang Dipertua Persatuan memberi penjelasan. Berikutan dengan ini, keahlian Persatuan Melayu Perak telah dibuka kepada semua golongan. Dalam bulan Oktober 1938, Jawatankuasa baru telah disusun semula.

Percubaan Persatuan Melayu Perak untuk menyusun langkah-langkah kearah meninggikan ekonomi dan pelajaran orang Melayu itu dapat diertikan sebagai satu kesedaran awal terhadap kemunduran orang-orang Melayu. Persatuan ini bolehlah dianggap sebagai satu asas kearah perjuangan politik tetapi ianya tidak dapat bergerak kerana tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson
Sejarah

Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson

17 September 1894 – Pada tahun 1894, satu pelanggaran kereta dengan gajah telah berlaku berhampiran Bandar Teluk Anson, Perak. Inilah satu-satunya pelanggaran dengan gajah yang pernah dialami oleh pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson

Kejadian yang tidak disangka-sangka ini berlaku pada sebelah petang semasa kereta api penumpang ini sedang dalam perjalanan dari Tapah Road menuju ke Teluk Anson. Walau bagaimanapun pelanggaran ini tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa. Hanya gerabaknya tergelincir dari landasan di tempat kejadian itu selama 2 minggu.

Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson

Untuk memperingati kejadian yang bersejarah ini, satu papan tanda yang mencatatkan bagaimana peristiwa tersebut berlaku telah didirikan di tempat kemalangan itu. Tengkorak dan gading gajah yang dilanggar mati itu telah disimpan di Muzium Taiping. Bagi memudahkan orang ramai melihat tengkorak gajah itu, ia telah dipindah dan dipamerkan di Muzium Negara Kuala Lumpur.

Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson

Peristiwa pelanggaran yang berlaku pada hari ini dalam tahun 1894 tidak melibatkan kemalangan nyawa tetapi ia telah menjejaskan pendapatan dan mengganggu perkhidmatan kereta api penumpang Tapah Road Teluk Anson. Malah ia juga boleh disifatkan sebagai faktor yang telah menjejaskan kemajuan perkembangan ekonomi KTM secara keseluruhannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
un_flag-800px
Sejarah

Persekutuan Tanah Melayu Menjadi Ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

17 September 1957 – Pada tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu dengan rasminya diterima menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Keahlian Persekutuan Tanah Melayu diusulkan oleh wakil Kerajaan Britain dengan mendapat sokongan sebulat suara dari ahli-ahli yang hadir yang menjadi anggota Majlis Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-82.

Pada hari ini juga buat julung kalinya dalam sejarah perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu suara Persekutuan Tanah Melayu yang telah mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 telah kedengaran dalam persidangannya. Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman telah dilantik oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka sebagai wakil tetapnya di PBB.

Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman

Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman

Kemasukan Persekutuan Tanah Melayu ke dalam pertubuhan dunia ini, telah memberi peluang kepada negara untuk bersahabat dengan semua negara tanpa sekatan serta memberi sumbangan tenaga, buah fikiran ke arah matlamat untuk menegakkan keamanan dunia.

Dengan menjadi ahli PBB ini juga, Persekutuan Tanah Melayu diterima menjadi ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa Bersatu dan Perjanjian Am (General Agreement) Tarif dan Perdagangan.

Sesungguhnya Pengiktirafan PBB terhadap Persekutuan Tanah Melayu adalah satu lagi kemajuan dan perkembangan yang dibanggakan dalam proses ke arah mengisi kemerdekaan negara sepenuhnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
un-logo-800px
Sejarah

Bangsa-Bangsa Bersatu Di Beritahu Secara Rasmi Tentang Penubuhan Negara Baru Malaysia

17 September 1963 – Pada tahun 1963, Bangsa-bangsa Bersatu dengan rasminya diberitahu tentang penubuhan negara baru Malaysia. Perwakilan Malaysia ke Bangsa-bangsa Bersatu yang dulunya Perwakilan Malaya telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu, U Thant tentang perubahan tersebut.

u thant

Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu – U Thant

Malaysia juga telah menghantar bendera baru negara kepada Bangsa-bangsa Bersatu untuk dikibarkan di Ibu Pejabat Bangsa-bangsa Bersatu bersama-sama dengan bendera 110 negara anggota yang lain. Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu En. U Thant mengumumkan beliau telah menghantar salinan-salinan Laporan Malaysia kepada semua negara anggota Bangsa-bangsa Bersatu.

Laporan tersebut tentang tinjauan pendapat rombongan Bangsa-bangsa Bersatu yang telah menyiasat hasrat rakyat di Sabah dan Sarawak serta mendapati seluruh rakyat di kedua negeri itu bersetuju dan menyokong penubuhan Malaysia tersebut.

Berdasarkan laporan tersebut Bangsa-bangsa Bersatu mengakui dan mengesahkan penubuhan Malaysia bagi menggantikan Malaya, walaupun ditentang oleh Indonesia dan Filipina.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
HMS_Midge-800px
Sejarah

Serangan Ke Atas Kapal Midge British Di Larut, Perak

16 September 1873 – Pada tahun 1873, sebuah kapal British Midge telah diserang oleh sekumpulan lanun di perairan Larut, Perak. Dalam serangan tersebut dua orang askar British telah mendapat cedera parah.

Kekacauan di Larut ini berpunca dari pergaduhan puak-puak Hai San dan Ghee Hin yang bukan sahaja di Larut tetapi juga telah merebak ke jajahan Inggeris di Seberang Perai dan Pulau Pinang. Kekacauan oleh orang-orang China ini menyebabkan Inggeris telah campurtangan.

Kolonel Anson pernah mengusahakan mesyuarat di Pulau Pinang di antara puak-puak yang bertentangan di Larut itu. Walau bagaimanapun kekacauan masih juga berterusan. Oleh sebab itu Inggeris telah menghantar kapal Midge ke perairan Larut dan kemudiannya mudik ke Sungai Larut untuk membenteras lanun-lanun China yang sentiasa mengganggu pedagang-pedagang yang menggunakan jalan air tersebut. Dalam masa inilah kapal Midge telah diserang oleh lanun-lanun yang berkubu di tebing Sungai Larut.

HMS Thalia

HMS Thalia

Inggeris kemudiannya menghantar kapal Thalia pada 20 September 1873. Kapal Midge dan Thalia kemudiannya bergabung menyerang kubu-kubu lanun China di Larut dan memusnahkan kubu-kubu di tebing Sungai Larut serta merampas 2 tongkang China di situ. Kira-kira 3000 penduduk di Pekan Larut yang kebanyakkannya terdiri dari orang-orang China telah menyerah diri kepada Inggeris.

Dengan serangan lanun-lanun China ke atas kapal Midge pada hari ini dalam tahun 1873 telah menyebabkan campur tangan Inggeris secara serius di Larut dengan menyerang dan memusnahkan kubu-kubu lanun China di sana serta memaksa mereka berdamai dengan Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sabah_hari_malaysia-800px
Sejarah

Pengisytiharan Penubuhan Malaysia

16 September 1963 – Pengisytiharan Penubuhan Malaysia telah diadakan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun 1963. Gagasan penubuhan Malaysia telah dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman semasa berucap kepada Persatuan Wartawan Asing dalam persidangan Foreign Correspondent Association of Southeast Asia di Singapura pada 27 Mei 1961.

Penubuhan Malaysia dijadualkan pada 31 Ogos 1963 setelah perjanjian di antara wakil daripada Sarawak, Sabah, Singapura dan Malaya ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Namun begitu, tarikh ini terpaksa ditunda setelah mendapat tentangan daripada Filipina dan Indonesia.

hari malaysia

Pada 31 Julai 1963, persetujuan dicapai oleh Persekutuan Tanah Melayu, Filipina dan Indonesia bahawa Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, U-Thant atau wakil perlu meninjau sokongan daripada rakyat di negeri-negeri Borneo. Wakil Bangsa-Bangsa Bersatu selesai menjalankan tugas mereka pada 14 September 1963. Oleh itu, perisytiharan Malaysia tidak dapat dilaksanakan pada 31 Ogos 1963, sebaliknya diisytiharkan pada 16 September 1963 dan DYMM Yang di-Pertuan Agong telah menandatangani perisytiharan tersebut pada 29 Ogos 1963.

Pengisytiharan Penubuhan Malaysia pada hari ini dalam tahun 1963 bukan sahaja telah memerdekakan Singapura, Sabah dan Sarawak daripada British tetapi juga menunjukkan kelahiran sebuah negara baru di dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Northport_Malaysia-800px
Sejarah

Port Swettenham, Klang Dibuka

15 September 1901 – Pada tahun 1901, Port Swettenham Kelang telah dibuka dengan rasminya kepada lalu lintas. Ia merupakan salah satu daripada pelabuhan terpenting di Malaya selepas Singapura dan Pulau Pinang.

Sebelum pelabuhan ini dibuka, kebanyakan kapal-kapal yang berdagang antara negeri Selat dengan Selangor berlabuh di Klang melalui Sungai Kelang. Pada awal tahun 1890an akibat pertambahan dalam perdagangan import dan eksport, jeti-jeti di Klang ini telah tidak dapat menampungnya. Setelah beberapa cadangan dikemukakan, akhirnya Kuala Kelang telah dipilih untuk pembinaan pelabuhan, di kawasan pantai.

Northport

Pada mulanya pembinaan hanyalah meliputi dermaga-dermaga dan apabila landasan keretapi dibina dari Kuala Lumpur ke Kelang, pembinaan kemudiannya meliputi gudang-gudang, perhentian keretapi dan kemudahan-kemudahan lain.

Oleh kerana bertambahnya kemudahan-kemudahan ini, kod pembinaan yang pada awalnya dianggar sebanyak $422,188 telah meningkat sehingga $1,108,791 apabila siap dan ia telah diletakkan di bawah tanggungjawab dan pentadbiran Jabatan Kerja dan Lalu Lintas Keretapi.

Pelabuhan ini dinamakan Pelabuhan Swettenham mengambil nama Residen General bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu iaitu Sir Frank Swettenham. Dengan pembinaan pelabuhan ini telah memudahkan lagi perdagangan bagi negeri-negeri Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard